Iqra’ – Qum – Qum
MANUAL MUSLIM DI MEKAH
Manual yang menjadi panduan dalam membentuk asas yang kuat untuk menjalankan dakwah di Mekah.
1. Iqra’
Peristiwa penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’.
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)( Surah Al-’Alaq : 1-5 )
Perkataan [ IQRA' ] dari ayat pertama surah di atas yang membawa maksud ‘bacalah‘ dan ditujukan kepada Rasulullah SAW melalui Jibril. Peristiwa ini telah menggambarkan kepentingan membaca. ( namun khas untuk Rasulullah, yang mana perkataan Iqra’ bukan sahaja bermaksud ‘read’ tetapi bermaksud ‘recite’ kerana Rasulullah telah ditakdirkan Allah tidak pandai membaca sehinggalah kewafatan Baginda. Ibrahnya di sini, agar apa sahaja yang disampaikan Rasulullah SAW tidak dapat diragui asal usulnya, samada melalui pembacaan atau penulisan ). Jadi pada zaman Rasulullah SAW memulakan misi dakwah bersama-sama para sahabat membaca ( baca : menuntut ilmu ) merupakan satu tuntutan untuk membentuk tapak yang kuat. Kita lihat, antara perkara pertama yang Rasulullah wujudkan semasa bermulanya dakwah di Mekah ialah perjumpaan ilmiah di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Semasa pembukaan Madinah, perkara pertama yang dilakukan Rasulullah SAW ialah pembinaan Masjid Nabawi yang merupakan pusat pemerintahan, pusat ibadah dan PUSAT ILMU ( baca : madrasah ). Kedua-dua peristiwa ini sudah cukup membuktikan bahawa ilmu itu sangat penting dalam penyampaian dakwah. Islam telah membuat satu revolusi baru dalam mengubah masyarakat pada waktu tersebut dari buta huruf kepada celik huruf. Malah telah melahirkan ramai tokoh ilmuwan terbilang semasa era kegemilangan Islam.
2. Qum
Peristiwa Rasulullah SAW berlari-lari pulang ke rumah dalam keadaan menggigil, meminta Isterinya Saidatina Khadijah r.a untuk menyelimuti Baginda.
Wahai orang yang berselimut! (1) Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). (2) ( Surah Al-Muddaththiir : 1-2 )
Perkataan [ QUM ] dari ayat kedua surah di atas yang bermaksud ‘bangunlah‘. Dan kita lihat dari ayat kedua, yang menyuruh Rasulullah SAW ( khususnya ) untuk bangun dan beri peringatan. Kenapa ini merupakan ‘keypoint’ dakwah Rasulullah dan para sahabat ? Kerana tiada guna mengetahui sesuatu tetapi tidak menyampaikannya kepada orang lain. Kita telah tahu bahawa menuntut ilmu merupakan asas kepada dakwah, dan dakwah itu tidak akan bergerak tanpa proses penyampaian itu sendiri. Jadi penekanan terhadap memberi peringatan, menyampaikan maklumat dan ilmu adalah sangat penting dalam membina ‘foundation’ yang kuat dalam berdakwah.
3. Qum
Wahai orang yang berselimut!. (1) Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), (2) ( Surah Al-Muzammil : 1-2 )
Perkataan [ QUM ] dalam ayat kedua surah di atas pula menerangkan kepentingan ibadah dalam proses dakwah. Ibadah menjadi tulang belakang sebenar dakwah. Proses pembelajaran dan dakwah perlu diiringi dengan ibadah, agar hati seorang dae’i sentiasa dekat dengan Allah SWT. Jika tidak, hati akan keras seperti batu. Jadi disarankan kepada mereka yang membawa risalah Allah, untuk sentiasa bangun malam, berzikir, membersihkan jiwa ( baca : tazkiatunnafs ) sebagai tambahan kepada ibadah-ibadah wajib yang lain. Namun, berbeza ketika bermulanya misi dakwah di Mekah, mereka yang berdakwah diwajibkan bangun malam untuk beribadat ( kerana pada waktu tersebut solat 5 waktu belum lagi disyariatkan, solat 5 waktu disyariatkan selepas peristiwa Isra’ Mikraj ). Jadi menjadi keperluanĀ dalam membina hati dan jiwa yang kuat, untuk memperbanyakkan amal ibadah selain daripada ibadah-ibadah wajib.
Ketiga-tiga perkataan di atas, walaupun tampak ringkas, telah memberi satu gambaran penuh bagaimana sebenarnya proses dakwah itu dilaksanakan. Proses pembelajaran perlu serentak dengan dakwah. Dakwah memerlukan seorang dae’i untuk sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan setiap apa yang dipelajari perlu disampaikan kepada yang lain. Belajar merupakan satu proses berterusan dalam hidup seorang Muslim.
Di samping itu, perkara yang penting dalam hubungan seorang Muslim dan Allah ialah dengan ibadahnya. Kalau pendakwah berhubung dengan orang yang didakwah melalui ilmu, hubungan pendakwah dengan Allah pula adalah melalui hati. Jadi perlunya pembersihan hati dan jiwa yang berterusan untuk membentuk jiwa-jiwa yang mukhlisin dan muqarrabin. Agar segala usaha dakwah yang dilaksanakan hanyalah kerana Allah, dan atas niat untuk menegakkan kebenaran.
Wallahu’alam
Daftar kata dae'i = pendakwah mukhlisin = golongan yang ikhlas muqarrabin = golongan yang dekat dengan Allah
TEAM KULIAH.NET AKHAWAT IPIJ 2008
Tags: ibrah, ipij, kuliahnet, Rasulullah, Sirah, Tazkirah, usrah








2 Responses to “Nota Kaki Kuliah.net Akhawat siri 1 ( sambungan )”